Sunday, 6 January 2013

Ekosistem Industri Buku

Industri buku adalah perniagaan yang paling kalis ekonomi. Buku bukan dibeli dengan paksa (kecualilah buku sekolah), buku dibeli sebab minat atau hobi atau sifat ingin tahu. Jika di bulan Ramadhan, buku-buku amalan sepanjang bulan Rejab, Syaaban, Syawal, panduan terawikh dan cara solat raya akan laku.

Pada Disember setiap tahun, buku-buku teks akan laku. Pada bulan Januari hingga Mac, buku-buku rujukan sekolah akan laku. Pada 6 bulan sebelum musim haji, buku-buku berkaitan haji akan laku. Pada waktu kegawatan ekonomi yakni ketika banyak orang menganggur, buku-buku jenis cara menambah pendapatan, memulakan bisnes sendiri akan laku.

Ekosistem Buku

Buku dijual di kedai buku. Maksudnya, operasi akhir industri buku ialah kedai buku. Keuntungan sesebuah kedai buku ialah melalui berapa banyak buku dibeli dikedainya. Namun begitu, pekedai buku lebih suka kalau buku-buku bestseller ada di kedainya kerana buku sebegitulah yang akan laku cepat. Pekedai buku tak suka kalau hanya ada buku yang sama sahaja di kedainya, pelanggan akan bosan. Pekedai buku suka kalau penerbit keluarkan berbagai-bagai tajuk pada setiap masa.

Oleh itu, pekedai buku sentiasa perlukan buku. Buku pula hanya dikeluarkan oleh penerbit. Manakala penerbit tidak dapat mengeluarkan buku jika tiada penulis yang mahu menulis. Penerbit yang mahu untung mahukan buku-buku terbitannya bertaraf bestseller. Buku bestseller hanya mampu dikeluarkan oleh penulis-penulis tertentu sahaja mengikut bidang masing-masing.

Kesimpulannya, punca utama yang menghidupkan industri buku seluruh dunia ialah penulis. Tanpa penulis, penerbit tak boleh hidup, tanpa penerbit, kilang cetak buku tak boleh cari makan, tanpa penerbit, pekedai buku tak boleh buka kedai. Tanpa kedai buku, masyarakat tak dapat membeli buku dan membaca.

Maka sekarang menjadi trend baru, pekedai buku mula bertindak menjadi penerbit, malah ada yang dah mula mencari pelbagai bakat-bakat penulis. Ini perkara yang menguntungkan penulis kerana percent royalti akan lebih luas dan tak perlu dikerat-kerat oleh penerbit lagi.

Keperluan Perisian Untuk Penerbit Sendiri

Bagi penulis-penulis yang berminat untuk menerbit sendiri buku, perkara terbaik bagi mereka ialah mengetahui 3 perisian utama dalam dunia penerbitan. Perisian itu ialah:

  1. Adobe InDesign
  2. Adobe Photoshop
  3. Adobe Illustrator
InDesign direka khusus untuk tujuan menghasilkan buku, jurnal, flyer, risalah, katalog-katalog barang, portfolio dan sebagainya. Ciri-ciri dalamannnya disesuaikan mengikut keperluan mesin pencetak kertas yang berada di kilang-kilang cetak. Semua buku di pasaran menggunakan perisian ini apatah lagi buku-buku akademik dari luar negara. InDesign model terbaru iaitu CS6, mempunyai option untuk menghasilkan digital publishing seperti ebook-ebook untuk Ipad dan Galaxy.

contoh layout majalah menggunanakan InDesign.

Photoshop adalah perisian rekabentuk yang dibina khusus untuk menghasilkan grafik-grafik kualiti tinggi. Semua kilang pencetak saya jamin menggunakan Photoshop, tak kiralah sama ada buat kalendar kuda, poster, iklan, banner, kain rentang atau apa-apa sahaja. Iklan besar di papan Billboard tepi jalan itu juga menggunakan Photoshop.

Illustrator adalah perisian untuk mereka bentuk objek-objek kecil dan detail atau hiasan dalaman bagi sesuatu halaman. Biasanya selepas objek itu direkabentuk dengan Illustrator, selepas itu ia dipindahkan ke InDesign untuk di susun.


Buku di atas adalah contoh buku yang dihasilkan menggunakan Adobe InDesign. Kandungan dalaman menggunakan InDesign manakala design kulit kemungkinan besar menggunakan Illustrator atau Photoshop. Lihat corak bulatan kaligrafi yang terdapat perkataan Musu'ah As-Solat, design bulat yang bercorak-corak halus itu direka bentuk menggunakan Illustrator.

Adobe InDesign

Adobe Photoshop CS6

Adobe Illustrator CS6

Saturday, 5 January 2013

Pendapatan Tambahan Untuk Guru Sekolah

(Gambar hiasan)

Bila kementerian pendidikan umum untuk hapuskan UPSR dan PMR, ramai guru-guru yang merungut tapi rungutan paling kuat adalah dikalangan guru-guru tusyen. Dasar kali ini tak menyebelahi mereka malah yang lebih teruk ialah guru-guru yang berhenti kerja dan menjalankan tusyen semata-mata. Saya kenal beberapa orang guru ini, kesian mereka. Dasar KPM menjahanamkan pendapatan bulanan mereka.

Antaramuka sistem PBS yang perlu diisi guru.

Tapi bagi guru, mereka ada kelebihan. Semua guru mempunyai kelebihan yang tak mereka ketahui iaitu bisnes penulisan. Guru yang tak pandai menulis bukan guru namanya kerana hari-hari guru kena tulis buku Rancangan Mengajar Harian. Jadi jika dikumpulkan semua tulisan dalam buku rekod mengajar tu, ketebalannya dah boleh dibuat buku.

Bayangkan sehari guru menulis sekurang-kurangnya 200 perkataan walaupun ayat yang sama. Seminggu, jumlah perkataan dah menjadi 1000 perkataan (tak termasuk Sabtu dan Ahad). Jika 10 bulan, guru sudah menulis lebih kurang 40,000 patah perkataan, menghampiri 110-130 muka surat berdasarkan spesifikasi buku di bawah:

       Saiz buku: 8.5 X 5.5 inci
       Jenis huruf : Times New Roman
       Saiz Huruf : 11 point
       Spacing : Single Spacing.

Spesifikasi di atas belum lagi ditambah dengan perenggan-perenggan, kandungan, kata pengantar, muka surat bibliografi, indeks, ilustrasi, gambar-gambar, jadual dan rajah-rajah jika ada.

Jika dimasukkan semua itu, jumlah muka surat boleh mencecah 200 -350 muka surat. Maknanya, dengan kesibukan tugas seharian guru, seseorang guru sudah pun menerbitkan 1 judul dalam tempoh tak sampai 1 tahun. Jika 5 tahun bekerja, dia sudah pun ada 5 judul.

Bayangkan bertapa guru-guru sekarang banyak tidak menyedari mereka telah membuang masa mengejar kenaikan gaji setahun hanya seratus dua ratus itu sedangkan, pendapatan tambahan dari cetak buku mereka boleh dapat setahun RM10-12 ribu bersih.

Soal buku laku atau tidak, jangan dipeduli kerana mana-mana penerbit atau pengedar akan mencetak buku sekurang-kurangnya 2000 unit untuk edaran seluruh Malaysia.

Mari kita kira berapa royalti anda setahun.

Biasanya royalti yang diberi ialah 6% (dari harga buku) bagi cetakan 2000 -9999 unit. Jika buku anda laku lebih 10,000 unit maka royalti biasanya diberi 10-15%. Bergantung kepada penerbit.

Andaikan setahun anda tulis 1 buku sahaja dan hanya laku 2000 unit sahaja dengan harga RM20 senaskah (harga ditentukan oleh penerbit), maka kiraannya ialah;

RM20 x 2000 unit = RM40,000 (keuntungan kasar)

Royalti penulis = 6% x RM40,000
                      =  RM2400 (jika laku 2000 unit)

* Jika laku 5000 naskah setahun maka royaltinya ialah RM6000 setahun. Adakah jika anda bergred DG48 sekali pun kenaikan gaji ialah RM2400-5000 setahun?



Affandi
emel: jutawanpena11@gmail.com

Saturday, 29 December 2012

Erti Kejayaan Dalam Hidup

Saya tertarik dengan komen pengunjung yang meminta saya menceritakan kejayaan saya bekerja sendiri setelah berhenti dari penjawat awam.

Kejayaan satu makna yang luas dan ikut matlamat hidup masing-masing. Tapi dalam kategori suasana sekarang, saya takrifkan kejayaan dalam hidup bermaksud 4 perkara:

a) Pendapatan bersih minima RM10,000 sebulan. (Setelah tolak pelbagai kos dan hutang bank).
b) Masa di rumah lebih panjang, tak perlu keluar sangat sampai 3-4 hari. Yang lebih baik, pejabat pun dalam rumah atau seberang jalan saja dengan rumah.
c) Pendapatan berterusan sehingga boleh diwarisi kepada anak cucu. (ada syarikat Sdn. Bhd)
d) Tidak berharap kepada pencen dan loan peribadi untuk membeli sesuatu yang diingini.

Sepanjang 30 tahun saya hidup, inilah maksud sebenar 'kejayaan' yang saya faham. Tak kiralah apa sahaja kerja yang halal yang boleh kita lakukan asalkan ada 4 ciri-ciri di atas.

Dulu masa masih bergelar pelajar, guru-guru dan penceramah motivasi suka menghasut di dalam pemikiran agar dapat keputusan yang cemerlang. Kerja hebat-hebat, maksudnya doktor, pensyarah, jurutera, arkitek dan sebagainya.

Kini baru saya faham, yang paling penting ketika belajar ialah 'sifat usaha untuk memajukan diri', tak kiralah keputusan peperiksaan itu cemerlang atau tidak. Saya kesian dengan kawan-kawan saya yang menjadi pelajar contoh dahulu di sekolah, keputusan PMR dan SPM, semuanya A, nak jumpa B pun susah. Sekarang ni kerja makan gaji saja DG41. Kemudian, umur dah hampir 30 baru nak dapat surat sah jawatan.

Guru saya pula yang dah 30 tahun bekerja baru dinaikkan jadi DG44 atau DG48. Kesian guru-guru saya. Penat lelah mereka tak sepadan. Bila saya jadi guru DG41, baru saya faham bagaimana SESAKnya pendapatan bulanan untuk dinikmati.

Alhamdulillah, berkat doa beberapa orang alim saya berjaya hidup tanpa makan duit cukai rakyat. Malah lebih murah rezeki. Anak-anak saya lebih cemerlang dalam pembelajaran dengan duit bisnes berbanding dengan duit makan gaji.

Sabda Rasulullah SAW, "Baikkan makananmu, maka doamu diqabulkan."

Sabdanya lagi, "Barang siapa tidak ambil peduli daripada mana mencari wang harta, maka nerakalah lebih layak kepadanya."

Itulah erti 'Kejayaan' hidup, hidup tanpa bergantung kepada duit cukai rakyat. Saya percaya para pembaca juga ada peluang seperti saya atau mungkin lebih berjaya lagi. InsyaAllah jangan putus asa, bila takdir dah sampai, kejayaan akan muncul.

Panduan Memilih Pengedar Buku

Bagi penulis-penulis Self Publisher, masalah utama ialah mencari pengedar buku yang sanggup mengambil buku untuk diedarkan ke kedai-kedai buku. Sepanjang pengalaman saya, Self-Publisher akan mempertimbangkan ciri-ciri berikut kepada pengedar:

1) Pengedar yang mempunyai sistem rangkaian seluruh Malaysia.
2) Pengedar yang mempunyai link dengan kedai buku POPULAR, MPH, BORDER dan KINOKUNIYA.
3) Pengedar yang mempunyai link dengan peniaga-peniaga pasar malam.
4) Pengedar yang mempunyai data analisis pencapaian jualan.
5) Pengedar yang jujur dan tidak cetak rompak buku.
6) Pengedar membenarkan penerbit yang menggunakan khidmatnya membuat tinjauan di stor buku pada bila-bila masa.

Daripada kesemua 5 ciri-ciri di atas, ciri ke-5 dan ke-6 adalah yang paling susah untuk didapati. Hampir 80% pengedar-pengedar besar seluruh Malaysia berpotensi mencetak rompak buku anda jika didapati ia bestseller.

(Gambar hiasan) Khabarnya pemilik kedai buku ini seorang siswazah OKU. Lawati blognya.

Maksud cetak rompak ialah, pengedar meminta softcopy buku anda atau menyuruh mana-mana tokey kilang cetak mengklon buku anda tanpa pengetahuan anda.

Sebagai Self-Publisher anda mempunyai dua pilihan dengan pengedar:

1) Anda mencetak sendiri buku dan mahu buku diedar oleh pengedar besar ke seluruh Malaysia.
2) Anda hanya menerbit buku, pengedar akan membantu anda mencetak dan mengedar buku anda ke seluruh Malaysia.

Untuk pilihan pertama, anda perlu ada modal sendiri. Contohnya, jika anda cetak 2000 unit hari ini dan memasuki pasaran seluruh Malaysia minggu depan, dan tiba2 buku anda 'meletup', anda kena cepat-cepat cetak, tak boleh tunggu. Biasanya pengedar akan memberitahu anda dengan segera jika buku anda hanya tinggal 200 unit di stor.

Untuk pilihan kedua, lebih mudah dan jimat wang. Tetapi anda harus beri softcopy kepada pengedar dan memastikan pengedar tersebut jujur dalam menyatakan berapakah jumlah sebenar yang dicetaknya dengan pencetak.


Dalam industri buku di Malaysia, pengedar yang bertalam dua muka dengan mengklon buku-buku bestseller yang menggunakan khidmatnya digelar dengan 2 istilah "Pirates King" atau Putar Alam. Istilah ini hanya digunakan pengedar-pengedar kedai buku indie, kemungkinan penulis-penulis terkenal pun tidak tahu istilah ini. InsyaAllah, saya akan terangkan kedua-dua istilah ini jika ada kesempatan.

Monday, 3 December 2012

Ingin Berhenti Tapi Takut Hilang Pencen

Assalamu'alaikum wbt,

Saya menulis artikel ini berdasarkan beberapa emel dan komen yang bertanyakan tentang kebimbangan tiada pencen disebabkan berhenti kerja.

Saya juga menghadapi masalah yg sama ketika hendak berhenti kerja dr kerajaan. Tapi saya mendapat ilham utk mengira semula adakah pada umur 56 tahun kelak saya akan mendapat pendapatan JUSA C. Ia suatu gred yg diidamkan oleh semua org tp kerajaan pun cerdik. Kalau semua org bijak, mana mungkin kerajaan mahu bayar gaji Gred JUSA C. Sebab itulah kerajaan buat kuota utk gred DG48 ke atas.

Tentang pencen, ia adalah kos lepas yg perlu kita tanggung jika berhenti kerja kerajaan. Saya sarankan, bagi sesiapa yg mahu berhenti dr penjawat awam, mantapkan dahulu bisnes yg diusahakan. Jgn buat bisnes part time, buat full time.

Berhentilah dr penjawat awam jika income dr bisnes dah mencapai RM5,000 ke atas. Jika kurang dr itu, boleh juga berhenti tp masih di bawah paras gaji DG52.


Monday, 29 October 2012

Pendapatan Tambahan Untuk Pensyarah

Bagi sesiapa yang bekerja sebagai pensyarah, saya ada berita baik. Pesnyarah adalah golongan yang boleh membuat side-income sebagai penulis buku yang lebih lumayan. Silap hari bulan, income dari menulis buku lebih lebat dari gaji sebenar.

Bagaimana seseorang pensyarah boleh menambah pendapatan maksima? Ianya mudah, anda hanya perlu menulis buku nota sendiri yang diterbit melalui syarikat sendiri. Bagi memaksimakan pendapatan, jangan terbit melalui penerbit besar luar negara seperti Prentice Hall, McGrew Hill dan sebagainya. Mereka sudah kaya-raya dan buku mereka berselerak seluruh dunia.

Sesetengah pensyarah berasa bangga jika buku mereka diterbitkan oleh syarikat2 besar seperti itu tetapi mereka mendapat percent yang sedikit. Buangkan kebanggaan itu kerana ia tidak mendatangkan pendapatan lumayan. Yang penting adalah kerja yang kita lakukan hari-hari itu boleh memberi pendapatan yang lumayan. Barulah berbaloi dengan kos yang kita tanggung selama ini.

Cara menambah pendapatan ialah :-
1.  Pastikan semua pelajar membeli buku tulisan sendiri dan jadikan buku itu silibus ringkas yang lengkap.
2.  Banyakkan mengajar subjek-subjek teras program. Lebih banyak subjek teras lebih untung.

Kiraan pendapatan;

Misalnya, satu semester (6 bulan) seorang pensyarah diarahkan mengajar 3 kelas. Satu kelas berjumlah 200 pelajar. Jadi jumlah pelajar keseluruhannya adalah 600 pelajar.

Jika buku anda berharga RM20 sebuah, maka 600 pelajar X RM20 = RM12,000.

Maka pendapatan kasar setiap semester ialah RM12,000 untuk satu subjek. Bagaimana jika anda mengajar 2 atau 3 subjek.

RM12,000 selama 1 semester bersamaan pendapatan RM2000 sebulan. RM2k itu juga bersamaan gaji seorang guru siswazah sekolah menengah.

Jika 1 semester anda berjaya menjual 2 tajuk, maka didarabkan dengan 2 jadi pendapatan tetap setiap semester ialah RM24,000.

Inilah pendapatan sampingan seseorang pensyarah. Jangan terlalu bimbang tentang kos cetak kerana kos cetak sebenar sebuah buku hanya lingkungan RM4 sahaja untuk 5000 naskah.

Masalah-masalah:

Sebenarnya tiada masalah, yang masalahnya ialah ramai pensyarah suka menerbit buku melalui pihak universiti dan penerbit luar. Mereka tidak berani tubuh syarikat sendiri. Jadi usaha mereka yang kuat dan lama itu yang sepatutnya boleh menghasilkan berbelas-belas ribu satu  semester telah ditelan keuntungannya oleh penerbit besar dan penerbit unviersiti.